In Humans of KL, Mental Health

HOKL: Sila perkenalkan diri puan.

Z: Nama saya Nor Zalina binti Zalwadi. Kerja saya sebagai seorang kaunselor di salah sebuah kolej universiti di bawah MARA. Saya juga merupakan seorang aktivis kaunselor sukarelawan di MIASA untuk tempoh tertentu.

Berapa lamakah puan telah bertugas sebagai seorang kaunselor?

Secara rasmi, sejak memperoleh lesen pada tahun 2011.

Apakah faktor yang mendorong puan untuk menjadi seorang kaunselor?

Banyak faktor, misalnya minat untuk mengetahui tentang kehidupan manusia sendiri. Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal daripada luar bandar. Kita melihat setiap hari itu macam mana, survive untuk teruskan kehidupan dan jadi orang yang lebih baik. Jadi kaunseling ialah bidang yang sangat besar untuk kenal diri seseorang individu dan diri sendiri.

Apakah tugas puan sebagai seorang kaunselor?

Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia. Antara peranan yang rasmi ialah menjalankan sesi kaunseling, sesi bimbingan dan juga intervensi kepada klien yang terjerumus dalam masalah kesihatan seksual, mental dan penyalahgunaan dadah. Selain itu, seorang kaunselor bertanggungjawab dalam aspek pengesanan awal simptom-simptom yang mungkin merupakan indikasi untuk masalah yang disebutkan tadi. Seorang kaunselor juga memainkan peranan sebagai seorang pemudahcara bagi mana mana-mana individu yang sangat memerlukan intervensi secara kecemasan, contohnya sebagai satu medium untuk seseorang itu berkongsi perasaan dan juga lenguhan kehidupan.

Tugas puan mesti melibatkan puan untuk berjumpa dengan ramai orang dari kehidupan yang berlainan. Apakah tanggapan puan terhadap masalah mereka?

Misalnya saya sendiri. Saya dibesarkan di kawasan luar bandar. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di universiti awam di Lembah Klang. Dalam kalangan klien-klien saya yang melalui pengalaman yang sama seperti saya, saya melihat terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam diri mereka disebabkan transisi dari kehidupan luar bandar ke bandar. Terutamanya sekarang ini terlalu mudah untuk mengakses maklumat, tidak kira sahih atau tidak. Impaknya manusia sekarang semakin unik dan oleh sebab itulah manusia sekarang sedang berhadapan dengan cabaran yang sangat besar.

Bolehkah puan menerangkan cabaran yang disebut tadi secara lebih terperinci?

Sebagai seorang kaunselor yang bertugas di sebuah universiti, klien saya terdiri daripada remaja yang baru ingin memulakan kehiudupan secara berdikari. Contohnya mereka daripada kumpulan pelajar yang sebelum ini tidak pernah dilepaskan oleh keluarga mereka, dan kini perlu hidup bersendirian. Pada masa inilah mereka sedang mencari personaliti, tujuan kehidupan dan cita-cita mereka yang tersendiri. Selain itu, individu di dalam kelompok umur seperti klien-klien saya ini sebenarnaya juga sedang mencari keseronokan dan mempunyai sifat ingin mencuba sesuatu yang baru. Dalam keadaan seperti ini, jika mereka tidak dapat mencari satu acuan atau ikon yang terbaik dalan kehidupan mereka, mereka akan menghadapi satu masalah yang besar. Sebabnya cabaran mereka ialah untuk mengawal pergaulan serta pemikiran mereka terhadap orang sekeliling. Akhirnya, mungkin ada yang berjaya mencuba dan ada yang gagal. Itulah cabaran yang saya maksudkan.

Adakah puan rasa ada “connection” dengan orang yang puan bantu?

Ya. Sebenarnya seorang kaunselor harus teguh dari aspek pendirian dia. Kerap kali saya menjumpai klien yang melalui keadaan yang hampir sama seperti mana yang saya lalui, iaitu dibesarkan oleh ibu atau bapa tunggal. Individu seperti ini memikul tanggungjawab yang berat, terutamanya jikalau mereka merupakan anak sulung. Contohnya, mereka perlu monolong ibu atau bapa untuk menjaga adik-adik, di samping memberi tumpuan untuk mencapai cita-cita mereka yang tersendiri. Itulah yang biasanya saya rasakan sebagai satu connection kerana saya memahami apa yang klien tersebut rasa. Namun sebagai seorang kaunselor yang beretika, saya tidak boleh melibatkan countertransference dalam sesi kaunseling kami, iaitu menerapkan nilai dan emosi kami kepada mereka. Walaupun saya pernah melalui pengalaman yang sama seperti mana mereka lalui, saya tidak boleh menggunakan pengalaman saya untuk menasihati mereka dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.

Adakah cabaran yang dihadapi oleh seseorang individu yang berpindah dari luar bandar ke bandar, berkait dengan kesihatan mental?

Sangat berkait rapat. Contoh yang paling mudah adalah dari aspek kewangan. Di luar bandar, kita tidak akan berhadapan dengan bermacam-macam kehendak. Jadi, duit mungkin dapat diminimakan penggunaannya.  Namun, berbeza pula ketika di bandar kerana kita ingin hidup dalam keadaan yang lebih selesa, mengikut arus moden dan memenuhi kehendak hiburan kita. Perbezaan ini meberikan suatu tekanan tambahan kepada individu yang baru berpindah ke kawasan bandar. Selain faktor kewangan, faktor lain yang boleh memberikan tekanan yang tinggi kepada golongan ini ialah tekanan dari aspek kehidupan sosial seperti penyalahgunaan dadah.

Jikalau klien puan berhadapan dengan masalah kesihatan mental, bagaimanakah puan membantu mereka?

Disebabkan kesedaran tentang kesihatan mental semakin meluas, kadang kala mereka cuba untuk memberi diagnosis untuk diri sendiri, tidak kira tepat ataupun tidak. Namun, saya ingin tekankan bahawa simptom yang mereka lalui ialah simptom tekanan yang berkala, ataupun simptom pemulaan kepada penyakit mental. Sebagai seorang kaunselor, kami tiada kepakaran dari segi klinikal, tetapi kemahiran kami lebih kepada aspek hubungan. Misalnya kaedah pertama yang kita akan cuba sebagai seorang kaunselor ialah dengan mengenal pasti apa yang berlaku pada klien tersebut baru-baru ini, 2 minggu yang lepas atau sebulan yang lepas. Kemudian kita kaitkan dengan latar belakang dia dan sekiranya benar-benar didiagnos dengan penyakit mental, kita akan kenal pasti punca utama di sebaliknya. Kemudian, kita akan fikirkan cara yang berikutnya, seperti menyerahkan kepada pihak yang lebih berkepakaran.

Apakah pandangan puan terhadap klien yang memberikan diagnosis sendiri kepada penyakit mental yang mungkin ada pada klien tersebut?

Sebelum menjawab soalan ini, saya ingin menyeru kepada rakyat Malaysia supaya jangan sewenang-wenangnya menggunakan perkataan spesifik yang berkaitan dengan penyakit mental. Misalnya, “aku rasa depressed”. Ataupun satu perkataan yang digunakan ialah “OCD”. Walaupun orang itu cuma agak pengemas, ia tidak merupakan penyakit OCD. Namun kita labelkan ia sebegitu. Itulah antara keadaan yang menyebabkan kita semakin keliru dengan apa sebenarnya maksud kesihatan mental ini.

Balik kepada soalan tadi, boleh kita sarankan supaya mereka cuba untuk mengenal pasti simptom-simptom secara lebih awal, tetapi bukan terus membuat kesimpulan. Pihak yang mengenal pasti simptom tersebut mestilah pakar. Contohnya, kaunselor dan pakar psikiatri. Kalau seseorang merasakan diri tiada kekuatan untuk membawa hal ini kepada psikiatri dan sebagainya, saya ingin sarankan supaya individu tersebut berjumpa dengan orang yang dipercayai, terutamanya kaunselor.

Adakah puan rasa penyakit mental dalam kalangan orang muda satu isu yang menular di Malaysia?

Berdasarkan pengalaman saya, penyakit mental ini memerlukan masa yang panjang untuk menjadi satu diagnosis yang sah. Ia bukan boleh berlaku dalam tempoh yang sekejap sahaja. Contohnya, seorang klien ini berumur sekitar 22 tahun. Kita kenal pasti rupanya punca awal dia menjadi pesakit mental bermula sejak dia berumur 15 tahun. Jadi ia mengambil tempoh sepanjang 7 tahun untuk mengalami proses perkembangan sehingga menjadi penyakit mental. Oleh itu, ia boleh dikatakan bahawa zaman muda seseorang itulah yang merupakan titik permulaan di mana penyakit mental mula berkembang. Zalimnya, masalah kesihatan mental mungkin lebih mudah untuk melibatkan golongan yang lebih muda sebab mereka tidak ada pertimbangan yang begitu baik. Mereka mungkin tidak ada pasangan yang betul-betul setia dengan mereka. Mungkin ini akan membantu lagi dalam penambahan pesakit mental dalam kalangan golongan muda.

Bolehkah puan memberi contoh kes di mana penyakit mental tersebut bermula dari usia yang muda sehingga menjadi satu diagnosis yang sah apabila mencapai peringkat dewasa?

Sebagai seorang kaunselor, kami perlu mendapatkan persetujuan daripada klien kami bahawa apa yang dibincangkan akan ditinggalkan sebagai kami punya kerahsiaan, kecuali situasi di mana maklumat yang dikongsi memberi satu kesan bahaya kepada pihak ketiga. Saya cuma boleh menyatakan secara umum sahaja. Ya, pernah saya jumpa di mana ia berkembang ketika seseorang itu masih pada peringkat awal remaja. Ketika awal remaja, ibu bapa mungkin berasa bahawa anak-anak ini berkembang dalam rentak yang sama dan boleh dilayan seperti anak-anak yang lain, terutamanya dari segi pendidikan dan pergaulan. Mungkin terdapat ibubapa yang merasa didikan tradisional masih relevan untuk anak mereka, sedangkan ia sudah tidak relevan pada peringkat tersebut. Jadi, anak itu mungkin membesar dalam keadaan yang melawan arus. Contohnya, anak itu cuba untuk menikmati kehidupan, tetapi ibubapa memberikan hala tuju yang bertentangan dengan kehendak dia. Jadi, faktor inilah yang akan membantu perkembangan (penyakit mental) dari semasa ke semasa. Sebenarnya, didikan ataupun apa yang terjadi pada diri kita, kebanyakannya bermula dari rumah. Sama ada didikan yang baik atau sebaliknya. Kalau perkembangan (penyakit mental) itu bermula dari rumah ataupun pada peringkat awal remaja, ia akan mengambil jangka masa yang panjang untuk dibentuk dalam klien itu sendiri. Saya memang mengalami situasi yang banyak di mana apabila diselidik, banyak (kes kesihatan mental) yang bermula dari rumah dan peringkat awal remaja, terutamanya pada peringkat awal menengah.

Bilakah masa yang sesuai untuk seseorang berjumpa dengan kaunselor atau pakar psikiatri?

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyuruh semua masyarakat Malaysia untuk tolong hapuskan stigma bahawa berjumpa dengan kaunselor ini adalah hanya apabila seseorang itu bermasalah sahaja. Bukan begitu. Apabila ingin bercakap dengan seseorang, kita perlu mencari seseorang yang betul-betul boleh dipercayai. Bukan semua yang senyum depan kita itu adalah kawan kita. Jadi, kita kena faham kepentingan mencari orang yang terbaik untuk berkongsi masalah kita. Realitinya, kita memang tidak boleh hidup bersendirian. Kadang kala kita rasa seperti tidak boleh meluahkan kepada ibubapa atau adik beradik kita. Jadi, tolonglah cari seseorang yang boleh dipercayai. Dan saya ingin menyeru kepada kaunselor yang lain untuk tetap berpegang teguh pada etika kerahsiaan, agar boleh tetap menjadi seorang kaunselor yang menerima klien tanpa syarat, tanpa memberi nilai ataupun justifikasi lebih awal sebelum kami kenal atau tahu apa yang terjadi pada klien kami.

Jika seseorang mula merasakan satu pendaman yang berat, saya sarankan supaya individu berkenaan terus berjumpa dengan kaunselor. Kaunselor sebenarnya banyak disediakan seperti di institusi pembelajaran sendiri, sekolah dan sebagainya. Kaunselor juga disediakan di luar, terutamanya di jabatan kebajikan masyarakat.

Apakah perkhidmatan yang diberikan oleh seorang kaunselor kepada klien mereka?

Kami tidak mempunyai kepakaran klinikal psikiatri, kepakaran prescribe ubat dan sebagainya. Namun, kami perlu membantu pada peringkat awal untuk memberi satu kesedaran awal dan membuka pemikiran klien tentang apa yang sedang berlaku pada diri mereka. Rawatan yang kami berikan adalah dari aspek psychosocial. Bukan semua orang boleh mendengar dengan baik seperti seorang kaunselor, kerana kami telah menerima kemahiran dan pendidikan secara professional untuk mendengar luahan hati seseorang. Selain itu, kami juga dilatih untuk memberi dorongan minima supaya  klien ingin lagi untuk bercerita dan seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan mereka terhadap kami. Paling penting sekali, kami tidak boleh membuat keputusan untuk klien. Seseorang tidak boleh mengharapkan kaunselor untuk menyelesaikan semua masalah yang sedia ada.  Kaunselor merupakan seseorang yang berada dalam keadaan rasional dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kaunselor boleh membimbing klien itu untuk meluaskan lagi pandangan mereka supaya mereka sedar apa yang sedang berlaku dalam kehidupan mereka, punca kepada masalah yang berlaku pada diri mereka, intervensi yang mereka boleh lakukan pada masa kecemasan, dan sebagainya. Kesimpulannya, peranan kaunselor ialah lebih kepada kemahiran dan teknik dalam mengawal perasaan dan emosi seseorang klien secara sementara, iaitu pada saat itu juga. Jikalau masalah klien berlarutan dan melebihi skop kemahiran seorang kaunselor, kami perlu berserah pada pihak yang lebih pakar.

Sebagai seorang kaunselor, apakah impak cerita yang diberikan oleh klien terhadap puan?

Besar, memang besar. Saya rasa bersyukur. Ketika saya melalui fasa-fasa sebagai seorang kaunselor, mesti ada ups and downs juga. Kadang-kadang saya berhadapan dengan satu rasa seperti unfinished business, di mana saya rasa simpati yang teramat sangat pada klien. Kadang-kadang saya akan terfikir dan rasa, “wah, dalam kehidupan sebegini rupanya akan ada masalah yang tidak masuk akal seperti ini”. Saya rasa lebih empati daripada simpati. Simpati mungkin kami akan rasa, “hmm, kasihannya”. Namun perasaan simpati ini tidak akan sampai ke hati. When it comes to empathy, kami akan rasakan seluruh organ dalam badan kami sedang bekerja dan bersama-sama dengan klien. Dan klien akan rasa yang kami ikhlas untuk tolong dia. Sebenarnya, klien tahu sama ada kami ikhlas atau tidak, dan sama ada kami benar-benar ingin membantu dia atau sebaliknya tidak mendengar dia langsung. Jadi, kami ada connection. Itulah yang akan mendorong klien untuk datang berjumpa dengan kami dan terus bercerita dan mempercayai kaunselor. Jadi, kaunseling sangat membantu kehidupan saya kerana sama ada kaunselor atau siapa, manusia tetap akan ada masalah kehidupan. Apabila kita melalui fasa-fasa membantu orang lain, dari situlah kita akan belajar.

Apakah pandangan puan terhadap kesihatan mental di Malaysia?

Mungkin kita belum lagi mendengar kes bunuh diri secara terang-terangan. Tetapi saya bimbang, dengan keadaan sekarang, sebenarnya kesihatan mental ini seperti satu wabak. Apabila kita dengar orang kata “kemurungan”, adakah mereka faham kemurungan ini datangnya dari mana? Bagaimanakah simptomnya? Apakah sebenarnya kesakitan ini? Contoh yang lain ialah penyakit skizofrenia. Orang selalu kaitkan szikofrenia dengan orang gila dan sebagainya. Namun, apakah sebenarnya yang kita faham tentang penyakit ini?

Jadi, saya sangat berharap supaya kesedaran penyakit mental dalam kalangan masyarakat Malaysia bukan hanya untuk diri mereka sendiri dan bukan mengikut pengedaran semasa, seperti menyatakan bahawa penyakit mental ini akan menyebabkan semua orang untuk sakit. Tidak. Sebenarnya, kebanyakkan penyakit mental bermula daripada masalah persekitaran, di mana ia boleh dirawati sepenuhnya melalui sokongan masyarakat yang mengambil berat tentang isu sebegini dan bukannya judge sesama sendiri. Namun, jikalau puncanya ialah  dari aspek genetik, keadaannya berbeza kerana intervensi yang perlu diberi ialah secara seumur hidup.

Paling penting sekali, kita memerlukan masyarakat yang mengambil peduli tentang isu penyakit mental, bukannya masyarakat yang sibuk untuk mecampuri urusan orang lain. Ia adalah dua perkara yang berbeza. Kalau kita masih ada lagi sifat sebegini di Malaysia, ia mungkin boleh lagi diselamatkan. Jika tidak, ia mungkin semakin parah seperti mana yang berlaku di negara-negara yang kita nampak mengalami kes bunuh diri dan sebagainya. Sangat serius sebenarnya.

Saya pernah melawat wad psikiatri dan saya pernah tengok kehidupan orang-orang yang kehilangan sesuatu yang penting. Apa yang boleh saya simpulkan ialah wad psikiatri itu ialah real, apa yang berlaku dalam kehidupan pesakit mental juga ialah real. Kebanyakkan pesakit mental tiada sokongan dan hidup tanpa kasih sayang. Kasih sayang itu sebenarnya paling dahulu dalam hidup mereka. Kalau itulah yang hilang dalam kehidupan mereka, agak mustahil untuk seseorang itu untuk terus hidup. Jika kita tidak memiliki duit ataupun tidak dapat mencari makanan untuk hari ini, it’s okay. Selagi kita masih mendapat sokongan dan kasih sayang, kita boleh hidup. Jika tiada dua perkara penting itu, kita akan hilang harapan untuk hidup. Jadi, saya sangat berharap supaya kita jaga orang sekeliling kita, terutamanya adik beradik, keluarga dan kawan-kawan kita. 

Edited by Mei Hui

Photo by Kelly Goh

 

Recommended Posts

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.